WeLcOMEE..!!!

Assalamualaikum dan salam satu malaysia...selamat datang ke blog khas k16..diharap dengan wujudnya blog ini kita akan dapat merapatkan silaturrahim sesama kita sendiri serta dapat berkongsi ilmu pengetahuan dan informasi , selama kita berada di ipg kampus ipoh ini mahupun setelah tamat pengajian...:)

EnJoy YouRSelFF..!!

Thursday, January 27, 2011

BILA USIA MENJELANG EMPAT PULUH…
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Waktu berlari dengan pantas. Detik, jam, hari, minggu, bulan dan tahun terus beredar dalam kealpaan insan atau sedar. Waktu yang berlalu tidak pernah menunggu persetujuan kita, atau menunggu sambutan tahunan. Samada ia disambut, atau ia tentang tiada siapa dapat menghalang perjalanannya. Ia terus datang dan pergi. Berlari tanpa henti. Dalam setiap nafas insan yang disedut atau dihembus keluar, waktu terus beredar.

Waktu tidak pernah hirau yang mati atau yang hidup. Waktu terus datang tanpa diundang, dan ia akan berlalu tanpa dihalang. Waktu adalah makhluk makhluk Tuhan yang paling ajaib. Berulang kali dalam al-Quran yang suci, Allah bersumpah dengannya; Demi masa! Demi waktu fajar! Demi waktu malam! Demi waktu dhuha! Demi waktu subuh dan seterusnya. Ciptaan yang maha ajaib.

Tiada raja, tiada penguasa yang mampu menghalang waktu dari beredar. Kita adalah makhluk Allah yang dipenjara dalam ikatan waktu. Tidak mampu keluar dari sistemnya walaupun sedikit, melainkan dengan izin Allah jua. Jika Allah mahu, nilaian dan kadar waktu kita akan berbeza atas kurniaan keberkatan dari Pencipta waktu iaitu Allah Yang Maha Agung!

Saya menulis tulisan ini ketika melihat tanpa mampu menghalang usia sendiri yang makin bergerak menuju 40 tahun. Tak berapa lama lagi, angka itu akan menjelang. Ramai orang berfalsafah tentang usia empat puluh. Ada yang berkata ia permulaan ‘kenikmatan hidup’, ada pula yang berkata ia adalah permulaan tarikh luput kehidupan. Ada yang berkata ia detik untuk mula berpesta dengan hidup. Ada yang kata usia empat puluh mula jadi ‘orang tua’. Ya! empat puluh juga menamatkan usia ‘pemuda’ dalam banyak organisasi.

Usia 40 Dalam Al-Quran

Jika kita kembali kepada Allah, Tuhan yang mencipta usia insan, Yang menentukan panjang atau singkatnya, maka kita dapati Al-Quran memberikan ingatan tentang usia 40 tahun dengan penuh makna dan menusuk jantung hati. Demikian Allah berfirman: (maksudnya)

“dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan, dan tempoh mengandung beserta menceraikan susunya ialah tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat matang yang sempurna dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, maka dia berdoa: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah untuk kebaikan dalam zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)” (Surah al-Ahqaf: 15)

Bagi yang dapat memahami bahasa Arab, dapat merasai keindahan bilah-bilah ayat di atas. Ia tersusun dengan cantik, indah dan penuh kerohanian. Ia menusuk kalbu, menusuk rohani yang lesu lantas mengheret insan ke dataran Tuhan. Ia mengingatkan tentang perjalanan insan; dari hari dia dalam kandungan ibunya, sehingga dilahirkan, sehingga matang, sehingga berusia empat puluh.

Lalu dia diajar agar berdoa untuk dirinya, untuk keturunannya dan agar dia bertaubat atas segala dosa yang dilalui sebelum menjelang empat puluh. Maka dia pun menjadi insaf yang benar-benar menyerah diri atau muslim. Dengan ayat ini, insan yang insaf tersentuh jantung hatinya, perasaannya tersentak, rohaninya sebak lalu dia terduduk insaf, taubat, ibadat dan terus membasahi perjalanan hidupnya dengan linangan airmata takwa sehingga bertemu Allah.

Keinsafan

Allah dalam ayat di atas mengingatkan insan tentang sejarah hidupnya yang pernah dikandung ibu, agar dia tidak lupa setelah lama hal itu berlalu. Insan diingat tentang payahnya pengorbanan tersebut. Setelah dia dilahir dalam keadaan yang sukar itu, dia mula melalui perjalanan hidup sehingga ke usia matang. Al-Quran tidak pula menyebut tentang berapakah usia matang tersebut. Para mufassirin berbeza pendapat. Namun, ia barangkali sekitar antara 30an ke 40an. Ada yang lebih awal, dan ada pula yang mungkin terlambat. Apapun, insan apabila sampai usia empat puluh maka itu adalah tarikh yang wajib untuk dia mengingati dan menginsafi hakikat kehidupan yang dilaluinya selama ini.

Perjalanan hidup; pahit manis, suka duka, cubaan dan kurniaan, halangan dan laluan kesemuanya menjadi bekal untuk dia meneliti dan memahami ‘apakah makna sebuah perjalanan hidup dan ke mana jalan yang hendak dituju?’. Dalam suasana keinsafan itu, dia lantas berdoa dengan penuh harap agar Allah memberikannya kurnia perasaan ‘kesyukuran’ atas segala nikmat yang diperolehi selama ini. ‘Syukur’adalah tanda atas keinsafan terhadap hakikat diri bahawa segala nikmat ini hanyalah dari Allah. Maka, hilanglah bongkak, hilanglah sombong, hilanglah bangga diri dan terasa kerdil atas segala yang dinikmati.

Kesombongan

Kesombongan atau bongkak adalah musuh insan. Kesombonganlah yang menimbulkan pemusuhan antara Iblis dan Adam, kesombonganlah yang menjadikan Iblis dilaknat. Kesombongan juga yang menyebabkan Firaun dan Qarun menolak dakwah. Kesombonganlah yang menyebabkan ada insan yang dihina kerana kekurangan yang ada padanya. Kesyukuran membunuh kesombongan. Usia 40 tahun, usia yang menghalau kesombongan, bukan usia untuk mendabik dada dengan menyatakan ‘aku, aku dan aku..’ tetapi usia yang mengingatkan insan untuk berkata ‘segalanya nikmat Allah’. Hilang bongkak, lalu nikmat ibadah pun menjelang dan insan memohon kurnia agar dia dapat terus beribadah dengan cara yang diredhai Allah. Pada usia ini, teringat pula tentang zuriat yang bakal muncul dalam kehidupan, lantas insan pun berdoa untuk zuriatnya seperti yang Allah ajar dalam ayat di atas.

Selepas itu, menginsafi perjalanan hidup selama empat puluh tahun, insan pun berkata “Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang menyerah kepadaMu)”.Bergabunglah keinsafan, taubat dan penyerahan. Maka berdasarkan ayat dalam Surah al-Ahqaf ini, kita diajar untuk bertaubat apabila menjelang usia 40 tahun. Kata al-Imam Ibn Kathir (w. 774H):

“Ayat ini memberikan petunjuk bahawa insan apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah, serta bersungguh-sungguh mengenainya” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/281. Saudi: Dar al-Tibah).

Ganjarannya..

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya)

“mereka (yang bersifat seperti itu) itulah orang-orang yang Kami (Allah) terima dari mereka amalan yang baik yang mereka telah amalkan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka; (mereka akan dimasukkan) dalam ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka”. (Surah al-Ahqaf: 16).

Indahnya janji dari Yang Maha Benar. Diterima segala kebaikan, diampun kesalahan dan dimasukkan ke dalam syurga. Alangkah indahnya. Soalnya, mampukah diri memulakan azam baru dan beristiqamah atasnya?! Berikanlah pertolonganMu Ya Allah!

Kematangan

Usia 40 tahun adalah usia yang mengajakkan kita untuk bersungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kedangkalan ketika usia muda yang lepas, lebih santun, lebih berhati-hati, melempar jauh kegopohan lepas, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Usia 40 adalah usia matang yang berbekalkan pengalaman empat dekad. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas:

“Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (Riwayat al-Bukhari).

Usia 40 usia adalah tanda aras usia insan yang insaf, syukur, merendah diri, ibadah, harapan, taubat dan penyerahan. Usia 40 adalah usia bersungguh-sungguh dalam memikul amanah, membuang kedangkalan, mengambil iktibar dari pengalaman dan bertindak dengan hikmah dan kebijaksanaan. Ya Allah! Selamat kami pada usia ini sehingga kami bertemuMu!


PENGARUH WANITA DALAM KEHIDUPAN LELAKI
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.

Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.

Al-Quran menyebut:

“dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. (Surah al-Baqarah: 35-36).

Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:

“dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121).

Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:

“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”.(Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).

Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.

suami-soleh-isteri-solehah.jpg

Muslihat Wanita

Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:

“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).

Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Josephmenterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).

Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atas godaan atau kaid tersebut.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda baginda juga:

“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” (Riwayat Muslim).

Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.

Elena Ceausescu

Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.

Perhiasan Terindah

Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:

“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).

Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).

Sabda Nabi s.a.w juga:

“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)

.

Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.

Mudahkan Pendekatan Islam, Jangan Eksklusifkannya


Mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

AMAT memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat masa muda ini. Tunggulah kami dah tua.”

Ungkapan ini lahir dari salah tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan sukar untuk diamalkan.

Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak. Dengan kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah, bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh setiap lapisan manusia. Jika tidak bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk setiap insan tanpa mengira latar kehidupan dan pendidikan.

Memang, mudah-mudahkan agama dalam erti kata melaksanakannya dalam keadaan yang cuai dan tidak menepati kehendak nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih adalah kesalahan dalam agama. Namun begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga salah.

Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)

Firman Allah lagi: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).

Firman Allah juga: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisaa’: 28).

Saya tidak ingin membicarakan tentang golongan yang cuai terhadap agama yang telah banyak diperkatakan oleh ustaz-ustaz kita. Semoga Allah memberikan pahala untuk mereka. Saya bicarakan tentang sikap sesetengah pihak yang cuba menonjolkan Islam seakan ia agama yang begitu sukar untuk dihayati dan seakan tidak akan sampai ke dataran Islam ini melainkan beberapa kerat manusia sahaja. Maka hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami, apatah lagi untuk dihayati.

Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan. Ia diajar dengan cara yang sukar disebabkan pelbagai faktor. Salah satunya; tokok tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai-bagai ayat dan peraturan yang sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi s.a.w. yang sahih.

Ini seperti menetapkan pelbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu. Demikian juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah hanya kerana terputus nafas, terbatal solat kerana pergerakan lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan seumpamanya. Sedangkan nas-nas al-Quran dan al-sunah tidak menyatakan demikian.

Kecenderungan

Di samping itu kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu sehingga ramai yang keliru. Umpamanya syarat niat yang bukan-bukan sehingga ada buku menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur.

Padahal setiap aktiviti insan secara sedar mempunyai niat. Maka dengan itu kita katakan ‘membunuh dengan niat’, sekalipun si pembunuh tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali bertakbir dalam solatnya, kononnya belum masuk niat.

Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat? Demikian juga mendetilkan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab wuduk belum habis dibincang.

Pendekatan ini menyebabkan Islam menjadi eksklusif seakan hanya untuk sekelompok manusia sahaja. Sementara selain mereka hanyalah manusia yang terpaksa bertaklid buta disebabkan kononnya tidak mampu untuk memahami apa sahaja hal ehwal agama ini kerana akal mereka tidak kesampaian. Sebenarnya, bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah melanggar garis panduan Nabi s.a.w. lantas menyanggahi logik insan.

Hal ini berbeza dengan arahan baginda s.a.w. Sabda baginda: Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka. (Riwayat al-Bukhari).

Pendekatan Nabi s.a.w. adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini. Antaranya baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan keadaan makmum yang pelbagai di belakangnya. Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari. Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua, lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.

Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti falsafah-falsafah yang memeningkan. Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadangkala guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya…”

Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.

Akidah Islam adalah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.

Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami. Ini kerana memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan terpelajar dan cerdik pandai. Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi s.a.w., para perwakilan yang datang mengambil dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan mudah.

Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah… Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991). Sebab itu – barangkali – dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan.

Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbang jiwa dan akal secara fitrah, bukan falsafah yang menyusahkan.

Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap.

Memahami

Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirnya diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita muslimah kita. Mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.

Demikian sebahagian buku atau filem menggambarkan seorang soleh dalam rupa yang sempit. Digambarkan insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbeza dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berwatak demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riak dalam amalan?

Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian dari riak (menunjuk-nunjuk).” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja.

Demikian juga, kadangkala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam. Padahal Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak demikian rupa kehidupan mereka.

Sehingga Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam al-Ghazali r.h dengan katanya:“Apa yang dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat – sekalipun secara tidak langsung – bahawa insan contoh di sisi al- Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah r.a, yang difahami dari al-Quran, sunah dan sirah.

“Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmati nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah s.w.t, antara beribadat dan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan akan mati esoknya.” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s 164, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Apabila ada wartawan bertanya tentang; adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab: “Begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan dalam masa kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara.

“Sebelum menjawab saya ingin kata: Kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.”

Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal sepertimana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda.

Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.


(minda tajdid, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)

Remaja dan penggilapan bakat

Golongan remaja adalah golongan yang berbakat. Potensi insan ini kalau digilap dengan baik boleh menyerlahkan bakat yang ada. Usaha untuk menggilap bakat daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang baik. Ia sepatutnya berlaku lama dahulu supaya bakat yang terbaik dapat dididik dilatih dan didedahkan kepada kepakaran tertentu di dalam dan di luar negara.

Bakat ini setelah diserlahkan patut disalurkan ke bahagian-bahagian strategik dalam sistem pendidikan negara, dalam pentadbiran negara, di sektor-sektor ekonomi dan dalam kepemimpinan politik supaya ketangkasan berfikir mereka dapat dimanfaatkan untuk negara dan umat.

Singapura umpamanya menjadikan pendekatan penggilapan bakat ini sejak sekian lama. Para pelajar yang berpotensi setelah digilap bakatnya dihantar ke universiti-universiti terbaik di dunia menjurus kepada pelbagai disiplin ilmu.

Apabila kembali ke Singapura, bakat yang tergilap disalurkan ke sektor-sektor strategik pembangunan dan kemajuan negara.

Amerika Syarikat (AS) juga melakukan perkara serupa dengan mengenal pasti bakat dari dalam negaranya mahupun dari luar negara.

Mereka ini ditawarkan kedudukan dan gaji yang lumayan supaya bakat itu dapat memberi faedah kepada pembangunan sistem di AS.

Malaysia dengan sistem pendidikannya yang berkembang mempunyai bakat yang banyak tetapi apabila mereka dihantar ke luar negara, bakat itu tidak dipantau secara strategik lalu berlaku 'pembaziran bakat' yang patut digilap sehingga mencapai tahap kualiti yang tertinggi.

Ramai juga di kalangan anak-anak Malaysia bermastautin di luar negara khususnya di negara-negara maju kerana bakat mereka amat diperlukan di sana.

Setiap anggota remaja dalam sistem pendidikan yang berkembang di Malaysia mempunyai bakat masing-masing.

Pihak Kementerian Pelajaran , Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Amanah Rakyat , Jabatan Perkhidmatan Awam, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad serta sektor swasta dan pihak-pihak lain harus mampu mengenal pasti bakat yang ada dan proses pemantauan perlu berlaku supaya bakat ini dapat digilap dan dijuruskan ke pelbagai bidang kritikal yang amat diperlukan oleh negara.

Berbicara tentang bakat, dalam konteks Malaysia yang menuju negara maju memerlukan penggilapan bakat yang tidak sahaja memiliki aqliah yang cemerlang tetapi juga rohaniah yang tinggi. Hal ini dirasakan penting dan relevan dalam konteks Malaysia maju pada masa depan.

Kemajuan yang bakal dirintis hanya dengan kekuatan pemikiran, penguasaan bidang-bidang sains dan teknologi belum mampu menjadikan Malaysia maju mengikut acuan kita sendiri.

Kalau kemajuan itu diukur sebagai suatu tamadun akhirnya, ia menuntut penggilapan jenis manusia yang mempunyai daya saing dan kreativiti yang tinggi. Ia perlu diperkukuh dengan akhlak yang baik di samping memiliki peribadi contoh.

Sejarah pembangunan Malaysia yang melepasi 53 tahun tidak sahaja memerlukan pengetahuan dan keterampilan tetapi dalam membangun dan mengisi kemajuan negara. Kita selalu tewas dan cair dengan cabaran kebendaan salah guna kuasa, ketidakadilan dan ketidaktelusan.

Oleh itu nilai-nilai murni ini harus bersama dalam sistem pendidikan dan penggilapan bakat supaya etika yang tinggi bakal mempedoman manusia yang terbaik ini menjadi manusia yang memiliki kualiti insaniah yang hebat.

Cabaran kebendaan

Antara cabaran besar remaja hari ini ialah pengaruh yang datang daripada luar lingkungan budaya dan tradisi pemikirannya. Apabila konsep maju berdiri atas faham kemajuan kebendaan semata-mata, menyebabkan maksud kemajuan dan perubahan menjadi kabur.

Tidak salah kita melihat ke Barat untuk mencari model-model maju dan moden, tetapi pancaran model maju negara-negara Barat lebih banyak memberi fokus kepada kemajuan kebendaan dan zahiri manusia tetapi bukan batini mereka.

Oleh itu proses penggilapan bakat dikalangan generasi muda harus melalui proses pendidikan integratif yang mengambil kira faktor ilmu, faktor keterampilan dan juga faktor keinsanan.

Memajukan akal fikir sahaja tidak cukup, kerana sebagai manusia ia memerlukan kemahiran keinsanan seperti amanah, adil, bijaksana, jujur, dan ikhlas kerana kalau asas ini dijadikan pendekatan membangun manusia, maka nilai-nilai murni ini akan sentiasa menjadi pedoman amal dan juga tindakan.

Tradisi ketamadunan Islam yang sentiasa mementingkan pembangunan rijal atau insan.

Insan yang digilap bakatnya sentiasa dilengkapkan dengan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem.

Ilmu mengurus diri berkaitan dengan kemajuan akal fikir, kemajuan hati budi yang menjadi landasan kepada sesuatu amal.

Amal yang baik adalah pancaran hati budi yang baik, dalam tradisi Islam amal itu dihubungkan dengan asas daripada niat.

Dalam surah Al-Asr ayat tiga, diberikan asas penting, iaitu orang-orang yang beriman itu ditunjukkan dengan amal. Amal adalah buah iman.

Penggilapan bakat di kalangan remaja harus dijadikan agenda utama dalam proses mendidik generasi penerus yang berkualiti. Ia harus dilakukan secara strategik dan sistematik supaya bakat yang ada di dalam atau di luar bandar atau di kalangan anggota masyarakat Malaysia dapat dikenalpasti. Kemudian proses penggilapan harus dilakukan dengan bijaksana.

Sektor kritikal jangan hanya melihat bidang sains, teknologi, perubatan ataupun sektor genetik semata-mata. Penggilapan bakat remaja harus memberi fokus kepada pelbagai disiplin ilmu termasuk bidang multimedia, kebudayaan, perfileman dan juga riadah supaya tenaga-tenaga berfikir yang terbaik dapat menghasilkan pendekatan-pendekatan yang berasaskan integrasi ilmu dan dapat memberi jawapan kepada dua perkara.

Perkara pertama adalah pembangunan potensi aqliah dan psikomotor dengan baik dan kreatif.

Pada masa sama harus dibangunkan pengetahuan ilmu tentang budaya kesenian yang mampu mengangkat tahap tamadun sesuatu bangsa. Inilah maksud acuan sendiri yang menjadi matlamat akhir Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju.

Kalau ini tidak berlaku kita akan hanya mengulangi model negara-negara Barat yang banyak menghadapi kritik mengenai faktor keinsanannya.

Oleh itu dasar penggilapan bakat negara harus dijadikan suatu realiti dimana bakat ini adalah modal insan yang paling berharga.

Aset negara tidak hanya terletak kepada modal yang bersifat benda dan kekayaan, tetapi yang paling memberi makna kepada Malaysia ialah gandingan dua potensi iaitu kekayaan hasil bumi yang dimiliki dengan kekayaan sumber modal insan yang ada.

Jika kedua-dua modal ini digerakkan dengan terancang dan strategik Malaysia bakal masuk kesuatu era yang memiliki kekuatan berganda yang amat diperlukan sebagai sebuah negara maju.

Kalau kita dapat menjadikan modal insan sebagai aset yang besar disamping memajukan hasil buminya yang banyak, ia bakal menggerakkan Malaysia menjadi lebih maju dan cemerlang berbanding negara lain.

(utusan 27/1/2011)