Nasional Cetak . Emel Rakan .
BN siap pertahan Sarawak, Sabah
Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2010/07/21
Selangor dijangka dirampas semula pada pilihan raya umum akan datang
KOTA MARUDU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah menyiapkan benteng ampuh untuk mempertahankan Sabah dan Sarawak, selain merampas semula Selangor daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata berikutan itu pembangkang sukar menawan hati pengundi Sabah dan Sarawak berikutan keadaan politik di kedua-dua negeri itu berbeza dengan Semenanjung, manakala Selangor pula sukar dipertahankan oleh pakatan pembangkang.
Namun, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen BN Sabah tidak leka dengan kemenangan besar pilihan raya umum 2008, sebaliknya terus menggiatkan usaha menawan hati pengundi dengan pendekatan menyelesaikan masalah rakyat.
Hishammuddin berkata, pembangkang berhasrat menawan Sabah dan Sarawak kerana menyedari tidak mampu menawan Parlimen jika gagal memperoleh sokongan pengundi di kedua-dua negeri berkenaan.
“Kita jangan leka. Jangan fikir kedudukan kita kuat... kita tidak peduli masalah rakyat. Kita akan terus mendapat kepercayaan rakyat jika kita tidak bertelagah sesama sendiri. Dalam menyiapkan diri menghadapi pilihan raya umum akan datang, kita harus lihat bagaimana UMNO dan BN dapat memenuhi cita rasa rakyat dan bagaimana transformasi yang dilakukan benar-benar mendapat tempat di hati rakyat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kota Marudu di Dewan Komuniti Kota Marudu, di sini semalam.
Hadir sama Ketua UMNO bahagian, Wetrom Bahanda dan Ketua UMNO Kota Belud, Datuk Salleh Said Keruak selaku wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Ditanya mengenai perbincangan antara UMNO dengan PAS, Hishammuddin berkata, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, supaya PAS berhenti daripada menghina UMNO harus dilihat secara ikhlas oleh PAS sebagai landasan kedua-dua parti berbincang mengenai perpaduan Melayu dan umat Islam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.